B.Ground

Jumaat, 21 Januari 2011

Khasiat Tanduk Rusa

Apabila bercakap tentang rusa, ramai yang terbayang akan dagingnya yang enak untuk di makan. Sebab itu juga haiwan itu mula diternak secara komersial bagi memenuhi permintaan terhadap dagingnya.

Tetapi khasiat yang ditawarkan oleh rusa bukan sekadar daging. Tanduknya juga sebenarnya mempunyai nilai yang lebih tinggi kerana mempunyai khasiat perubatan tertentu.

Laporan oleh beberapa jurnal perubatan menunjukkan tanduk rusa mempunyai khasiat untuk mengubati beberapa jenis penyakit terutama penyakit dalaman.

"Terdapat laporan daripada pakar perubatan dan jurnal dari universiti Amerika Syarikat, Korea Selatan, Jepun, Australia dan New Zealand yang telah membuat kajian tentang tanduk rusa.

"Oleh itu, saya yakin potensi khasiat tanduk rusa boleh dikembangkan dan mengambil inisiatif sendiri membuat kapsul untuk merasai kesannya," kata Muhammad Akhbar Chiraghdin yang mengusahakan ternakan rusa untuk tujuan itu.

Daripada laporan yang disiarkan dalam jurnal-jurnal yang dibacanya itu, Muhammad Akhbar mengambil risiko untuk menternak rusa bagi mendapatkan tanduknya.

Beliau sebelum ini pernah terlibat dalam pelbagai bidang ternakan termasuk lembu dan kambing.
Daripada pengalaman tersebut beliau mendapati menternak rusa lebih mudah kerana ia lebih tahan penyakit.

Lagi pula ternakan rusa untuk tanduk tidak memerlukan haiwan itu disembelih.
Beliau yang kini mempunyai 2,000 ekor rusa berkata, tanduk-tanduknya akan dipotong setahun sekali.
Kerja-kerja pemotongan itu katanya, dilakukan dengan teliti supaya haiwan tersebut tidak cedera dan boleh kekal hidup hingga 15 tahun.

Setiap kali 'dituai' kata beliau, tanduk yang diperolehi ialah sekitar 50 kilogram.
"Kami akan potong semasa tanduk berusia 40 hari dan dipotong setahun sekali. Tanduk akan dibekukan sebelum dihantar ke sebuah syarikat bio teknologi yang terletak di Taman Perindustrian Malaysia (TPM) di Raub, Pahang," katanya.

Jelasnya, kilang berkenaan yang beroperasi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan membuat kapsul dengan mengeringkan, memotong dan menghancurkan tanduk tersebut untuk dijadikan kapsul.

Mengenai kaedah pembuatan, beliau berkata, hanya syarikat itu yang tahu caranya tanpa meminggirkan khasiatnya.
Beliau juga ada membuat kapsul secara kecil-kecilan untuk dijual pada kenalan rapat dan juga ahli keluarga lain.

Katanya, sebelum dipasarkan ke pasaran domestik, beliau melakukan ujian keberkesanan khasiat pil tanduk rusa ke atas dirinya.

"Saya pernah terjatuh dan patah tulang. Doktor yang merawat saya suruh saya berehat tetapi saya mahu ke ladang. Dengan mengambil beberapa biji kapsul tanduk rusa, alhamdulillah saya beransur pulih dan kembali bekerja seperti biasa," jelasnya.
Apabila diberikan kepada rakan lain yang mempunyai penyakit tertentu mereka juga memberi maklum balas positif bahawa kapsul tanduk rusa mempunyai khasiat.

"Oleh itu, saya tidak menoleh kebelakang dengan menghantar sampel tersebut kepada Biro Farmasi Negara dan Kementerian Kesihatan untuk mendapatkan status kelulusan untuk dijual di pasaran tempatan," jelasnya yang dijangka mendapat keputusan pada Mac ini.

Berdasarkan pengetahuannya, tiada pihak yang menjalankan perusahaan itu dan beliau mengambil langkah berani untuk melakukannya.

Namun, atas permintaan tinggi beliau tidak dapat memenuhi kehendak pengguna kerana jumlah pengeluaran tanduk rusa kurang menampung pasaran.


Oleh MOHD. FAIRUZ YUSOF

Pengalaman Hidup Tanpa Payudara ( Akhbar )

Pada 14 tahun lalu, Ranjit Kaur, menyangkakan dia akan meninggal dunia. Terkejut apabila dia didiagnosis kanser payu dara, berita itu ibarat hukuman maut buat wanita berusia 57 tahun ini. Presiden Pertubuhan Kebajikan Kanser Payu Dara Malaysia (BCWA) ini diserang kanser payu dara pada tahun 1998. 

"Ketika diberitahu saya ada kanser itu, saya seperti berputus asa dan takut. Manakan tidak, setahun sebelum itu, bapa saudara saya meninggal dunia akibat kanser. Saya tidak mahu menjadi beban kepada keluarga dan masyarakat hanya kerana kanser. Lebih-lebih lagi pada masa itu, kesedaran orang ramai terhadap penyakit ini sangat rendah. Saya khuatir akan kehilangan keyakinan diri. 

Hakikatnya, saya memang tiada motivasi terutama terhadap seksualiti diri. Saya sentiasa terfikir, siapa yang akan menjaga saya ketika sakit dan sebagainya," ujarnya yang telah mengikuti rawatan kimoterapi sebanyak 12 sesi selama sembilan bulan, disusuli rejim radioterapi, pengambilan pil Tamoxifen selama lima tahun dan Femara untuk lima tahun selanjutnya.

Dalam keadaan Ranjit yang lemah, dia dipertemukan dengan seorang pesakit kanser. "Kenapa awak kelihatan sihat dan tidak seperti seorang yang sakit? Bagaimana awak pulih?," persoalan Ranjit ketika pertama kali dipertemukan dengan pesakit yang telah 19 tahun menghidap kanser payu dara itu.
Pesakit itu menjawab, "Kalau awak menjalani rawatan, awak juga akan kelihatan sihat seperti ini,"' 
Bersemangat
Sejak itu Ranjit menjadi bersemangat untuk menentang kanser dan meneruskan hidup walaupun dia telah menjalani pembedahan membuang salah satu payu daranya.
Ranjit kemudiannya diajak menyertai BCWA sejak tahun 1998 dan dia mula mengaktifkan diri dalam persatuan itu.

Walaupun Ranjit kini hidup dengan sihat dan normal, dia reda jika sel kanser itu kembali hidup.
Sebagai pesakit kanser, sel kanser boleh datang semula dan menyerang pesakit. Namun wanita ini sudah bersedia. Dia tidak mahu bergantung pada ubat semata-mata tetapi dia mahu menikmati masa berkualiti bersama keluarga dan teman-teman sehingga menghembuskan nafas terakhir. 

Begitulah impian Ranjit yang mahu memberi kesedaran yang lebih tentang kanser payu dara kepada masyarakat.

"Tahap kesedaran sekarang sudah semakin pulih tetapi masih ramai yang tidak sedar pada peringkat awal. Ini menyebabkan penyakit ini sudah merebak ke seluruh badan. Bagi saya, bukan sahaja masyarakat luar bandar yang masih belum ada kesedaran tetapi mereka yang berpelajaran turut mempunyai kesedaran yang rendah. Justeru itu, kami di BCWA mahu memperluaskan kempen kesedaran kanser ini," ujar bekas pelajar bidang Sains Kurang Upaya di Kolej Universiti London yang ditaja sepenuhnya oleh badan amal, Yayasan Rotary.
Dalam pada itu, BCWA sedia memberi sokongan emosi kepada pesakit baru termasuk menghantar ahli yang terlatih ke hospital-hospital untuk memberi latihan kepada penghidap lain.

"Sebagai pesakit mereka memerlukan sokongan emosi, pendidikan dan bimbingan kepada diri sendiri selain kesedaran kepada orang ramai pengesanan peringkat awal. Antara aktiviti BCWA yang terbaru ialah mengumpul dana menerusi kempen 'Pink Purse' untuk aktiviti MURNI," katanya.

Tambah Ranjit, MURNI merupakan kenderaan berat yang telah diubahsuai, lengkap dengan jururawat bertauliah dan bekas pesakit barah payu dara yang terlatih. Kenderaan ini akan ke luar bandar untuk mengajar masyarakat luar bandar tentang gaya hidup sihat. 

Selain itu, mereka akan diberi panduan perubatan dan dididik untuk mendapatkan rawatan segera apabila didiagnos kanser payu dara.

Berkongsi pengalamannya bertemu pesakit kanser yang baru didiagnosis, pesakit akan banyak bertanya kepadanya tentang punca dia diagnosis kanser.

Antara soalan popular yang ditanya pesakit ialah apakah dia ada membuat salah, bagaimana gaya hidupnya dan adakah dia salah makan sehingga dia menghidap penyakit kanser.

Dengan nada lembut, Ranjit menjelaskan kepada mereka supaya tidak mempercayai khabar angin berkaitan kanser payu dara sebaliknya meminta nasihat doktor.

"Persoalan-persoalan ini sangat popular ketika saya bertemu dengan pesakit. Mereka takut menjalankan kehidupan normal seperti orang yang sihat. Padahal mereka boleh makan apa sahaja atau bersenam sama seperti orang lain," katanya.

Dalam pada itu, Ranjit menyeru wanita agar sedar kehadiran penyakit ini. Katanya, kanser ini boleh menyerang mana-mana wanita walaupun ada lelaki yang dapat tetapi peratus besar adalah wanita.

"Kita boleh boleh buat pengesanan awal dan perlu berjumpa doktor setiap tahun untuk melakukan mamogram apabila usia mencecah 40 tahun. Ingat, tanggungjawab anda dalam tangan sendiri," ujarnya mengakhiri perbualan.
Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH

Pewangi Kediaman

RUMAH yang bersih, kemas dan teratur bukan sahaja menyenangkan pemilik malah tetamu yang bertandang juga berasa selesa. Namun itu sahaja belum mencukupi andai ada bau-bau yang kurang menyenangkan, terutama di bahagian dapur atau bilik air.

Tak perlu mengeluarkan kos yang tinggi untuk membeli pewangi sintetik, sebenarnya beberapa bahan yang terdapat di dapur atau di sekeliling rumah berupaya mengharumkan kediaman secara semula jadi.
Cuba tip ini:-


1. Daun pandan - selain dimasukkan dalam masakan untuk aroma wangi, pandan juga boleh dijadikan wangian semula jadi dalam rumah. Ibarat seperti bunga rampai, hirisan daun pandan mampu memberi aroma harum semerbak di bilik tidur, bilik air, almari pakaian dan laci untuk tempoh dua minggu.

2. Limau nipis dan kasturi - belah limau kepada dua bahagian dan simpan dalam peti sejuk untuk menyerap bau yang kurang menyenangkan. Hirisan limau nipis atau kasturi juga boleh dicampur bersama sabun pencuci pinggan untuk aroma yang lebih menyegarkan. Ia juga handal menghapuskan kotoran berminyak.

3. Bunga mawar - kelopak mawar diracik halus dan dicampur bersama daun pandan menjadi bunga rampai. Masukkan campuran bahan ini dalam bekas khas untuk dijadikan potpourri semula jadi.

4. Serai wangi - selain menghasilkan aroma yang menyegarkan, serai wangi juga berupaya menghalau nyamuk dan serangga.

5. Bunga-bungaan - beberapa jenis bunga mampu mengharumkan kawasan kediaman dan boleh bertahan hingga seminggu. Contohnya bunga melur, harum sundal malam, cempaka, kenanga, kemboja, kesidang dan lili putih.

Hormon Penyebab Murung

RASA sakit serta lesu seluruh badan biasanya disebabkan keletihan dan bebanan kerja di pejabat. Namun tidak ramai daripada kita yang mengaitkannya kelesuan tersebut dengan masalah kemurungan.

Keadaan itu menyebabkan ramai mereka tidak menyedari mengalami kemurungan dan mempunyai masalah tersebut kerana menyangkakan sakit badan yang dialami adalah sakit biasa.

Namun tahukah anda bahawa sesiapa saja boleh mengalami masalah kemurungan tidak mengira usia, jantina atau bangsa.

Malah pada kanak-kanak seawal usia lima tahun pun tidak terkecuali. Cuma simptom mereka berbeza daripada orang dewasa.

Laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) 1999 menunjukkan kemurungan adalah penyakit keempat utama di dunia yang boleh menyebabkan hilang keupayaan dan menambahkan kesengsaraan.

Sesetengah orang mungkin tidak mendapatkan rawatan kerana beranggapan ia akan hilang dengan sendiri.
Malah, ada beranggapan bahawa kemurungan adalah satu kelemahan atau kegagalan peribadi yang perlu ditangani sendiri. 

Ada pula yang tidak sedar bahawa terdapat rawatan perubatan yang berkesan untuk kemurungan.
Kajian Bebanan Penyakit dan Kecederaan Malaysia (2000) melaporkan kemurungan menjadi punca ketidakupayaan utama di kalangan wanita dan tempat kedua bagi lelaki yang dipercayai disebabkan perubahan hormon.

Perunding Psikiatrik Pusat Perubatan Gleaneagles Intan, Dr. Nor Hamidah Mohd. Salleh berkata, pesakit yang mengalami masalah kemurungan kebiasaannya akan hilang keyakinan, berasa rendah diri, kurang bermaya dan hidup dalam dunia mereka sendiri.

Keadaan itu, jika tidak dirawat segera, akan menjadi bertambah teruk sehingga ke tahap bertindak ganas.
"Disebabkan itu, mereka perlu mendapatkan nasihat doktor selain ubat-ubatan bagi memastikan keadaan tidak berlarutan," katanya.

Tegasnya, penyakit murung biasanya tidak mengenal usia. Keadaan ini dipengaruhi oleh pelbagai faktor seperti tanggungjawab dan budaya, terutamanya bagi wanita yang mempunyai banyak tanggungjawab sebagai pekerja, pengurus rumah tangga, isteri dan ibu kepada anak-anak.

Mengikut kajian kejadian kemurungan di kalangan wanita adalah lebih tinggi berbanding lelaki kerana sikap mereka yang sedia bertanggungjawab dan mengambil tahu setiap perkara secara serius.

Kebiasaannya, kemurungan di kalangan wanita ditunjukkan melalui gejala tidak bersemangat dalam kehidupan.

Bagaimanapun keadaan itu berbeza dengan kaum Adam yang lebih suka meluahkan perasaan marah itu melalui perbuatan.
Oleh ZUHAYATI YAZID

Soya Boleh Mengurangkan Risiko Kanser

Apabila menyebut 'kanser', pesakit pasti hanya terbayang kematian terutama di kalangan mereka yang disahkan sudah ke tahap lanjutan rawatan seperti kemoterapi atau radioterapi.

Lebih-lebih lagi, penyakit itu membawa perubahan besar gaya hidup pesakit dan juga memberikan kesan lain termasuk perubahan penampilan, emosi yang tidak menentu dan bebanan kewangan.

Kini, dengan ledakan teknologi moden dan pengesan awal terhadap pembunuh nombor satu wanita itu mampu mengurangkan risiko berlakunya kanser.

Malah bukan lagi rahsia, melalui pemakanan yang berasaskan soya ia mampu mengurangkan risiko terjadinya kanser payu dara di kalangan wanita.

Perkara terbukti apabila satu kajian secara klinikal telah dilakukan oleh Yayasan Penyelidikan Kesihatan Awam Tokyo, di bawah Kumpulan Penyelidikan Bakteria Asid Laktik dan Kanser Payu Dara .

Penyelidikan dilakukan oleh pensyarah di Jabatan Pembedahan, Universiti Kyoto, Jepun, Dr. Masakazu Toi bersama seorang pensyarah dari Jabatan Biostatistik di universiti sama, Dr. Yasuo Ohashi. Mereka mendapati pengambilan soya dan juga pengambilan minuman yang mengandungi bakteria Strain Shirota iaitu minuman susu kultur, Yakult, secara tetap dan berterusan mampu mengurangkan risiko yang boleh membawa kepada kanser payu dara.

Malah, dalam kajian yang dilakukan oleh penyelidik ini mendapati wanita yang mengambil makanan berasaskan soya dan minuman susu kultur dilihat kurang berpotensi untuk di jangkiti dengan kanser payu dara.

Kajian itu mendapati pengambilan secara tetap setiap hari produk yang mengandungi bakteria Lactobacilus casei Shirota (LcS) semenjak usia remaja mampu mengurangkan risiko seseorang wanita itu terkena kanser payu dara.

''Ini terbukti kerana komponen di dalam makanan yang berasaskan soya dan LcS mempunyai fungsi yang boleh melindungi daripada kejadian kanser payu dara dan sekali gus mengatasi masalah kesihatan di kalangan mereka yang mengambilnya,'' ujar Dr. Toi semasa membentangkan kertas kerja di Simposium kanser payu dara di San Antonio, Amerika Syarikat Disember lalu.

Beliau berkata, kajian itu mengkaji hubungkait antara pengambilan minuman yang mengandungi LcS dan makanan yang berasaskan soya dengan penyebab kanser payu dara. 

Bakteria yang dinamakan (LcS) itu dapat mengawal pertumbuhan bakteria perosak dalam usus dan sekali gus mengatasi masalah kesihatan di kalangan mereka yang mengambilnya.

Beliau menjelaskan, kesan perlindungan tersebut mungkin disebabkan oleh kesan bakteria Strain Shirota ke atas mikroflora usus yang telah membantu penghadaman isoflavon soya yang berkaitan rapat dengan pengurangan risiko kanser payu dara.

''Strain Shirota juga mampu meningkatkan sistem imunisasi semulajadi tubuh khususnya aktiviti NK yang boleh menjejaskan kesan perlindungan," katanya.

Tegasnya, dalam kajian itu seramai 355 pesakit berumur 40 hingga 55 tahun yang menjalani pembedahan kanser payu dara dari tempoh Oktober 2007 hingga Mac 2009 dan 710 orang yang sihat yang tinggal di kawasan yang sama dan berumur sebaya dijadikan objek dalam kajian tersebut.

''Mereka dikaji berdasarkan kepada diet dan gaya hidup sejak masih remaja lagi dan semasa dewasa. 
''Hasilnya, didapati sebanyak 30 peratus risiko kanser payu dara dapat dikurangkan bagi mereka yang mengambil minuman yang mengandungi bakteria asid laktik iaitu susu berkultur Yakult sebanyak empat kali atau lebih seminggu, berbanding dengan mereka yang mengambil tiga kali atau kurang dalam seminggu," kata Dr. Toi.
Oleh ZUHAYATI YAZID