B.Ground

Isnin, 21 Februari 2011

Hari Kanser Tanam Kesedaran

Laporan oleh Persatuan Antarabangsa Kawalan Kanser (UICC) menunjukkan setiap tahun di seluruh dunia sebanyak 7.6 juta dilaporkan meninggal dunia akibat kanser dan hampir 12.7 juta orang lagi berisiko mendapat penyakit tersebut. 

Malah jika masih tiada sebarang langkah proaktif diambil, angka tersebut akan terus meningkat sebanyak 26 juta kes baru dan 17 juta kematian menjelang tahun 2030 terutamanya di negara-negara sedang membangun dan miskin.

Menyedari ancaman tersebut UICC telah menginisiatifkan Sambutan Hari Kanser Sedunia pada 4 Februari setiap tahun dengan sokongan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Di Malaysia sambutan yang sama telah diadakan oleh Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia (NCSM) pada 4 Februari lalu dengan bertemakan Kanser Boleh Dicegah.

Hakikatnya kanser merupakan penyakit yang boleh membawa maut, namun ia masih boleh dicegah dan sesetengahnya mampu disembuhkan melalui rawatan-rawatan yang khusus. 

Ketua dan Pengarah Kesihatan NCSM, Dr. Saunthari Somasundaram berkata, sebagai salah sebuah ahli dalam UICC, NCSM turut komited dalam usahanya membendung peningkatan seterusnya mengurangkan jumlah kematian disebabkan kanser di negara ini. 

''Kami di NCSM perlu menyebarkan fakta dan maklumat sebenar kepada bahawa kanser bukannya penyakit yang mudah dijangkiti.

"Sebaliknya kanser satu jenis penyakit yang boleh dicegah dan dielak melalui perubahan gaya hidup," katanya.
Dr. Saunthari berkata, tahun 2011 merupakan tahun untuk menjelaskan mengenai penyakit yang tidak mudah berjangkit termasuk kanser, penyakit jantung, dan kencing manis. 

Kebanyakan penyakit ini menyebabkan lebih 60 peratus kematian di seluruh dunia.

"Kanser, penyakit kencing manis dan penyakit jantung bukan lagi penyakit yang melibatkan golongan kaya sahaja kerana hari ini penyakit tersebut turut menjangkiti orang ramai yang terdiri daripada penduduk miskin melebihi daripada jangkitan penyakit lain.

''Sebanyak 30 peratus hingga 40 peratus kanser boleh dicegah dan satu pertiga kanser boleh dirawat melalui pendedahan awal tentang penyakit dan juga rawatan,'' katanya.
Katanya, risiko untuk mendapat kanser sebenarnya boleh dielakkan dengan berhenti daripada tabiat merokok, mengurangkan jumlah pengambilan alkohol, mengelakkan daripada terdedah kepada cahaya matahari yang terlampau, makan makanan yang sihat dan mengekalkan berat badan dan melindungi daripada jangkitan yang menyebabkan kanser.

Pada tahun ini jelasnya, NCSM juga turut menganjurkan beberapa aktiviti seperti larian berganti-ganti yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada 11 hingga 12 Jun selama 16 jam.

Program ini juga akan turut diadakan di Melaka pada Bulan Julai dan di Pulau Pinang pada bulan Oktober.
NCSM juga katanya, turut menganjurkan kempen penggalakkan hidup secara sihat kepada kanak-kanak sekolah melalui kempen Hope for Our Children dan juga kempen barah payu dara dan barah servik termasuk taklimat-taklimat lain mengenai kanser.

( Dipetik dari Utusan Malaysia)

Sabtu, 19 Februari 2011

Mengatasi Masalah Obesiti ( Dari Utusan )

Bagi pelawak Bob Kuman atau nama sebenarnya Husni Mohd. Rawi, semenjak bergelar artis, berat badannya tidak terkawal dan menjadi obes akibat pengurusan makanan yang tidak baik.
Mahu memperbaiki tahap kesihatan, Bob perlu membeli mesin oksigen dan melakukan pembedahan pintasan perut (gastric bypass).

“Saya memerlukan peralatan itu akibat berat badan yang berlebihan iaitu 219 kilogram sehingga menyukarkan pernafasan selain komplikasi buah pinggang. Syukur dengan sumbangan Hero Malaya sebanyak RM 60,009, saya boleh melakukan rawatan. Namun, jumlah itu belum cukup untuk menampung segala kemungkinan pada masa akan datang. Justeru saya akan mengeluarkan single album untuk menampung perbelanjaan itu kelak,” ujarnya.

Sebelum menjalani pembedahan pintasan perut, dia perlu berdiet selama sebulan.
Bob Kuman perlu mengurangkan kandungan karbohidrat dalam badannya dengan memakan makanan lembut.
Kebetulan, komplikasi penyakit akibat obesiti yang dialaminya sangat serius dan boleh memberi kesan kepada paru-paru dan hati.

Melakukan rawatan di Pusat Rawatan KPJ Damansara, Bob Kuman menasihatkan orang ramai khususnya lelaki agar makan berpada-pada. Bagi peminatnya, Bob Kuman boleh dihubungi melalui laman sosial Twitter.
Selain kesedaran berhubung kesan obesiti pada status kesihatan dan perkembangan psikososial seseorang, berat badan berlebihan sering dikaitkan dengan gambaran negatif baik wanita mahupun lelaki.
Namun, mereka yang berusaha mendapatkan berat badan idaman dan mengekalkannya sering menemui jalan buntu.

Bob Kuman antara lelaki yang akhirnya sedar obesiti perlu diatasi demi mencapai kesejahteraan hidup.
Pada peringkat awal, gemuk atau obesiti boleh menyebabkan masalah seperti sukar berjalan, sakit belakang, sering keletihan, menjejaskan keadaan kulit dan sesak nafas.
Jika dibiarkan tanpa rawatan, berat badan berlebihan ini berkecenderungan menjadi lebih teruk dengan ancaman penyakit yang boleh membawa maut.
Pembedahan

Ketika ini terdapat tiga jenis pembedahan obesiti atau bariatrik iaitu Lingkaran Laporoskopik Boleh Ubahsuai (LAGB), pembedahan Sleeve Gastrectomy (SG) dan Pintasan Gastrik (GB).
Walaupun pencegahan adalah jalan terbaik daripada rawatan, kaedah pembedahan ini merupakan khabar gembira buat mereka yang mengalami komplikasi obesiti.

Menurut Pakar Surgeri Am Pusat Perubatan Sime Darby Subang Jaya, Dr. Cha Kar Huei, individu yang ingin melakukan pembedahan bariatrik boleh memilih salah satu daripada tiga kaedah tersebut.
Namun bukan semua orang yang berbadan besar boleh melakukannya kerana mereka perlu mempunyai indeks Jisim Badan ( BMI ) melebihi 40 atau 35.

“Pilihan pembedahan bariatik merupakan rawatan bagi golongan obesiti menurunkan berat badan berperingkat-peringkat dengan dikawal pakar perubatan. Mereka yang boleh melakukan pembedahan ini telah mencuba pelbagai kaedah menurunkan berat badan tapi tidak berjaya.
``Seperti pembedahan penyakit lain, pesakit membuat rawatan susulan, mengubah gaya hidup seperti berdiet, bersenam dan berhenti merokok. Selain itu, mereka perlu mengikuti panduan perubatan secara terperinci,” ujarnya.

Isnin, 14 Februari 2011

Kebaikan dan Keburukan Minyak Masak

Beberapa  teman di laman sosial Facebook mengeluh mengenai kesukaran mendapatkan minyak masak di pasaran sejak akhir-akhir ini.


        Ada yang menyoal sinis: “Pokok kelapa sawit banyak, mana minyaknya?” Ironinya, sama seperti gula, negara kita merupakan antara pengeluar utama minyak sawit dunia tetapi kekurangan bahan tersebut di pasaran tetap berlaku.

        Kesihatan tidak mahu mengulas mengenai fenomena tersebut atau mencari apa puncanya, cuma sekadar ingin mencungkil rahsia di sebalik bahan asas masakan rakyat Malaysia itu.

       Tanpa disangkal, kita menggunakan minyak masak setiap hari dalam kebanyakan jenis masakan. Goreng, kari, kurma, sup, asam pedas, masak kicap, sebut sahaja apa jenisnya, bahan asasnya adalah minyak. Itu belum dikira lagi kuih muih seperti karipap, donat, pisang goreng dan bermacam lagi yang menggunakan minyak yang banyak ketika dimasak.

         Persoalan utama, benarkah minyak masak hanya mendatangkan kemudaratan kepada tubuh badan?
Pakar Nutrisi dari Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC) Shah Alam, Chew Lih Theng berkata, seperti bahan lain minyak masak juga mempunyai kebaikan dan boleh mengundang keburukan andai diambil dalam kuantiti berlebihan.

       Kebaikan minyak masak menurut beliau mengandungi lemak yang menjadi sumber utama tenaga yang paling mudah diperolehi. Selain itu katanya, ia juga mengandungi komponen yang membantu penyerapan vitamin seperti AHA, DHA dan vitamin penting lain untuk fungsi otak dan sel membran.

Namun seperti juga bahan lain, jika diambil dalam kuantiti yang berlebihan ia menyumbang kepada masalah penyakit berkaitan obesiti dan jantung.

Jenis minyak
Minyak masak terhasil daripada tumbuhan, namun terdapat juga minyak daripada haiwan yang wujud dalam bentuk pepejal pada suhu bilik seperti marjerin, mentega dan minyak sapi.

“Secara asasnya, semua minyak masak berasaskan tumbuhan tidak mengandungi kolestrol. Namun ia mempunyai komposisi kandungan yang berbeza berdasarkan strukturnya,” kata beliau.

         Menjelaskan lebih lanjut kata Lih Theng, minyak kelapa, kelapa sawit dan isirung kelapa sawit tergolong dalam kumpulan minyak yang mengandungi lemak tepu yang tinggi tetapi rendah kandungan asid lemak mono tak tepu (MUFA) dan asid lemak poli tak tepu (PUFA).

         Walaupun lemak tepu dikelaskan sebagai lemak jahat, tetapi tidak semua mempunyai kesan negatif terhadap kolestrol dalam badan. Ada kajian yang menunjukkan asid palmitic dalam minyak kelapa sawit neutral terhadap paras kolestrol kerana ia membahagi secara sama rata kepada tiga bahagian utama molekul triglyceride. 

         Dalam satu kajian oleh saintis dari Amerika Syarikat pada tahun 2007 mendapati, pengambilan lemak tepu dan PUFA diperlukan untuk nisbah kolestrol LDL (kolestrol jahat)/ HDL (kolestrol baik) yang ideal dalam darah. Ini berikutan kedua-duanya menyumbangkan keseimbangan dalam proses metabolisme lipoprotein. 

         Disebabkan kandungan asid lemak tepu yang tinggi, minyak kelapa sawit dan kelapa sering digunakan untuk jenis masakan goreng rendam (deep fried) kerana strukturnya yang lebih stabil.

        Kumpulan minyak sayuran lain seperti zaitun, kacang soya, bijan, bunga matahari, kanola dan jagung pula mengandungi kandungan MUFA dan PUFA yang tinggi manakala lemak tepu pula rendah.

Ini menjadikan minyak jenis itu sesuai untuk masakan tumis ringkas atau dimakan mentah.

          Mungkin ada yang bertanya, jika minyak yang mengandungi MUFA dan PUFA baik, mengapa tidak digunakan untuk menggoreng dalam jumlah yang banyak?

           Jawapan Lih Theng selain harga yang tinggi, ia tidak sesuai kerana setiap jenis minyak, katanya, mempunyai tahap tertentu (smoke point) di mana jika dipanaskan pada suhu yang melebihi had ditetapkan menyebabkan ia mengeluarkan bahan toksik yang dipanggil 4-hydroxy-trans-2-nonel (HNE). Bahan itu, kata beliau, akan meningkatkan paras kolestrol dalam badan.

“Sebenarnya tidak sukar untuk mengenalpasti kandungan minyak masak kerana ia fakta nutrisinya sudah terkandung pada label produk. ,” katanya.

       Kata beliau, jenama bukanlah faktor utama yang menentukan baik atau tidak sesuatu jenis minyak masak, tetapi terpulang kepada sebanyak mana yang kita ambil dan bagaimana cara memilih kaedah masakan dalam menghasilkan hidangan yang menyihatkan.

Oleh BINTU RASYADA A. RAHMAN
bintu.rahman@utusan.com.my

Sabtu, 12 Februari 2011

Rawatan Kanser Buah Pinggang

Kanser buah pinggang peringkat serius atau sel renal karsinoma (RCC) berlaku apabila sel-sel buah pinggang menjadi bertambah parah dan tumbuh di luar kawalan. 

Dalam kebanyakan kanser buah pinggang, tumor akan mula kelihatan pada lapisan saluran halus dalam buah pinggang. 

Tanda-tanda yang biasa kelihatan dalam RCC termasuklah darah dalam air kencing (haematuria), kelesuan, hilang berat badan, anemia, dan sakit atau ada kelompok pada sisi atau pada bahagian bawah belakang. Bagaimanapun, dalam kebanyakan kes kanser ini, ia tidak mudah dikesan semasa pemeriksaan fizikal sehingga ia sudah berada pada peringkat lewat penyakit itu.

Faktor ini menyebabkan pesakit tidak menyedari mereka menghidap kanser ini pada peringkat awal.
Ini menyebabkan kebanyakan kes sampai ke peringkat serius (peringkat ketiga dan keempat) apabila penyakit dikesan. Malah, ia dikesan selepas pesakit mengalami pelbagai gejala kesihatan.

Walaupun kanser ini tidak popular seperti kanser payu dara atau prostat, jumlah pesakit semakin meningkat di kalangan warga emas lelaki berumur 60 hingga 69 tahun.

Ia dikategorikan sebagai 10 kanser utama yang menyebabkan kematian.
Pada 2002, kira-kira 208,000 orang di seluruh dunia menghidap penyakit ini (dan 37,000 daripadanya rakyat Amerika) serta 102,000 meninggal dunia.

Jumlah pesakit kanser buah pinggang di Amerika Syarikat tahun lalu dianggarkan 36,000 orang dan 40 peratus daripadanya berakhir dengan kematian.

Sehingga hari ini, lebih 57,000 kes kanser buah pinggang dikesan di Amerika dan dianggarkan 13,000 pesakit akan meninggal dunia walaupun mendapat rawatan.

Secara global, kanser buah pinggang adalah kanser keenam paling lazim (terutama pada peringkat III dan IV) di dunia selepas kanser paru-paru, payu dara, kolorektal, prostat dan hati.

Di Malaysia, kanser ini di tangga ke-17 bagi lelaki dan ke-20 bagi wanita dan kemungkinan menghidap kanser buah pinggang meningkat dengan cepat selepas berumur 40 tahun.

Terdapat lebih kurang 383 kes-kes barah buah pinggang dan organ pembuangan air kecil sejak 2006 . Di kalangan orang dewasa, RCC adalah penyebab utama bagi 85 peratus kanser buah pinggang dan hampir 30 peratus daripada pesakit-pesakit dengan RCC mempunyai barah metastatik pada peringkat diagnosis.
Tumor barah sel ginjal lanjut 

Perunding Onkologi Klinikal, Datuk Dr. Mohd Ibrahim A Wahid, berkata, RCC adalah jenis barah ginjal yang serius tetapi jarang dijumpai.

Ia adalah antara tumor yang paling kalis rawatan, dengan kadar kelangsungan hidup lima tahun sekitar 68.9 peratus sahaja.

Kebiasaannya mereka yang mengamalkan gaya hidup tidak sihat, suka merokok, tekanan darah tinggi serta menghidap penyakit buah pinggang adalah golongan paling berisiko mendapat RCC.

"Sehingga tahun 2005, pilihan rawatan yang boleh didapati adalah terhad. Rawatan utama untuk peringkat awal RCC adalah pembedahan untuk membuang barah daripada tubuh. Walaubagaimanapun, daripada pesakit yang telah didiagnos dengan RCC, kira-kira 25 peratus hingga 30 peratus akan kembali menghidap barah selepas pembedahan dan memerlukan rawatan lanjut melewati pembedahan," ujarnya.

Bagaimanapun, beberapa tahun lepas, terapi RCC telah mensasarkan laluan-laluan molekular yang khusus dan proses-proses yang mempengaruhi pertumbuhan sel seperti mTOR. Ia merupakan satu protein yang dijumpai dalam sel tubuh untuk pertumbuhan dan pembahagian sel.
Menurut Penasihat Perubatan untuk Unit Oncology & Specialty Care Business dari Pfizer Malaysia, Dr Mohd Nawi Wahid, rawatan baru seperti Torisel disasarkan khusus kepada mereka yang menghidap RCC lanjut. Dalam erti kata lain, RCC tergolong dalam kes yang 'terlepas pandang'. 

"Kajian telah menunjukkan bahawa temsirolimus mampu untuk mencapai hasil yang baik. Pfizer Malaysia amat berbangga dapat membawa harapan baru kepada penghidap RCC lanjut melalui rawatan ini," ujarnya.
Rawatan RCC
Kehadiran Torisel (temsirolimus), satu ubat intravena (IV) diluluskan sebagai rawatan bersasar baru untuk barah ginjal peringkat lanjut (juga dikenali sebagai tumor barah sel ginjal lanjut) membawa harapan kepada penghidap RCC yang mempunyai kadar kelangsungan hidup yang rendah.

Sama seperti ubat barah yang lain, pesakit yang bakal dirawat dengan Torisel akan melalui penilaian cermat berkenaan kesesuaian mereka terhadap ubat dan faktor-faktor risiko prognosis mereka akan dinilai melalui kesihatan terkini mereka khasnya keadaan organ hati mereka. 

Ia merupakan rawatan sekali seminggu yang diberikan secara intravena supaya ubat tersebut boleh memasuki saliran darah secara terus. Tiga puluh minit sebelum pesakit menerima rawatan ini, doktor mungkin akan memberi mereka antihistamin secara intravena untuk membantu mengurangkan peluang kemungkinan reaksi alahan. Rawatan penuh ini dijangka mengambil masa antara 30 hingga 60 minit. Jika antihistamin diberi terlebih dahulu, rawatan penuh akan mengambil masa 60 hingga 90 minit.

Jumaat, 11 Februari 2011

Percernaan Makanan Oleh Enzim

SETIAP orang pernah mengalami sembelit, kembung perut, lebihan asid dan pembendungan air semasa atau selepas menikmati makanan. Apa kata kaji punca masalah tersebut yang antara lain menurut pakar pemakanan berkaitan dengan enzim pencernaan. 

Tubuh secara semulajadi menghasilkan 3,000 jenis enzim yang berbeza. Pemangkin protein ini penting untuk setiap proses metabolik dalam badan daripada berfikir kepada mengelipkan mata. Enzim dihasilkan di dalam hati dan disimpan di dalam kelenjar-kelenjar utama. Kita juga boleh menambah bekalan enzim menerusi pemilihan makanan yang betul. 

Enzim juga boleh didapati secara semulajadi di dalam makanan sama ada buah-buahan, sayur-sayuran atau daging. Bagaimanapun penyelidikan mendapati memanaskan makanan melebihi 118*F boleh memusnahkan enzim. Begitu juga dengan makanan yang mengandungi bahan kimia atau disembur dengan racun serangga selain menggunakan baja kimia yang didapati mengganggu aktiviti enzymatic di dalam tumbuh-tumbuhan.

Dari semasa ke semasa, pengambilan sumber makanan yang tidak lagi mengandungi enzim boleh menimbulkan masalah kepada kesihatan kita. Disebabkan kekurangan enzim pencernaan di dalam tubuh, stok atau simpanan enzim semulajadi diperlukan untuk merawat masalah kesukaran mencernakan makanan yang dimakan. 

Dr. Edward Howell, penulis buku Enzyme Nutrition menekan tentang 'akaun bank enzim' di dalam badan yang semakin terhad atau menurun disebabkan faktor peningkatan usia serta kaedah penyediaan makanan. Penyusutan 'akaun' itu menurut beliau turut disebabkan pengambilan alkohol, dadah, tidur yang tidak mencukupi serta kekurangan air untuk merangsang pengeluaran enzim. 

Dr. Howell percaya, kesemua faktor itu turut menyumbang kepada pelbagai masalah lain seperti diabetes, kanser kolon, tekanan mental, penyakit kulit dan kegagalan fungsi hati. 

Pakar kolon, Dr. Hiromi Shinya dalam tulisannya bertajuk The Enzyme Factor menegaskan tentang protein tidak tercerna dalam produk susu, makanan segera dan daging merah yang menjadi sumber 'makanan' bakteria 'jahat' sehingga terhasil toksin yang kemudiannya menjejaskan saluran darah. Toksin tersebut akan mencemarkan hati, buah pinggang dan jantung sedangkan tubuh memerlukan enzim-enzim yang disimpan di situ untuk mencernakan makanan.
Dr. Howell merumuskan bahawa pengambilan suplemen enzim pencernaan boleh memperbaiki penghadaman dan mengawal berat badan. Ia juga membantu mengatasi masalah kesihatan termasuk lelah, alahan, penyakit kulit dan artritis. Pengambilan enzim pencernaan memperbaiki paras gula dalam darah dan mengurangkan penggunaan insulin. 

Beliau turut mencadangkan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran untuk merangsang enzim di dalam badan selain membantu pencernaan, langkah itu juga dapat memelihara bekalan enzim untuk 'tugas' lain.
Kajian menunjukkan pengambilan suplemen enzim semasa perut kosong boleh menambah 'akaun bank enzim' kerana tubuh menukar enzim pencernaan kepada enzim metabolik. 

Oleh NORAINI ABD. RAZAK